[close]

Rabu, 8 September 2010

ERTI HARI RAYA


HARI raya adalah hari bergembira dan bersuka ria. Sebab itu sesetengah ulamak tidak bersetuju pada hari raya umat Islam menziarahi kubur, nanti sedih dan boleh menangis..

Mengapa bergembira? Kerana telah berjaya menunaikan sebulan puasa. Kerana dapat makan minum. Berpakaian baru. Dapat bertemu sanak saudara. Ertinya, bergembira dalam batas yang ditentukan oleh agama atau syarak dan tidak melampau serta tidak lalai mengingati Allah. Firman ALlah Ta’ala...
وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْن
Maksudnya : “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah : 185)
حَدِيثُ أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ شَهْرَا عِيدٍ لا يَنْقُصَانِ رَمَضَانُ وَذُو الْحِجَّةِ *
Diriwayatkan daripada Abu Bakrah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Dua bulan yang terdapat Hari Raya, tidak mengurangkan jumlahnya. Iaitu bulan Ramadan dan Zulhijah . – Riwayat Bukhari dan Muslim.

Bold
حَدِيثُ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ يَوْمَ الْفِطْرِ فَصَلَّى فَبَدَأَ بِالصَّلاةِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ ثُمَّ خَطَبَ النَّاسَ فَلَمَّا فَرَغَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَزَلَ وَأَتَى النِّسَاءَ فَذَكَّرَهُنَّ وَهُوَ يَتَوَكَّأُ عَلَى يَدِ بِلالٍ وَبِلالٌ بَاسِطٌ ثَوْبَهُ يُلْقِينَ النِّسَاءُ صَدَقَةً

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya..

Sesungguhnya Nabi SAW berdiri mendirikan sembahyang pada Hari Raya Fitrah. Baginda memulakannya dengan sembahyang sebelum berkhutbah. Sesudah itu barulah baginda mulai berkhutbah kepada orang ramai. Apabila selesai Nabi SAW turun dan menghampiri kaum wanita. Baginda memberi peringatan kepada mereka, sambil bertumpang pada tangan Bilal. Bilal membentangkan pakaiannya dan para wanita mulai memberi sedekah *

Riwayat Bukhari dan Muslim.
حَدِيثُ أُمِّ عَطِيَّةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ : أَمَرَنَا تَعْنِي النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نُخْرِجَ فِي الْعِيدَيْنِ الْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ وَأَمَرَ الْحُيَّضَ أَنْ يَعْتَزِلْنَ مُصَلَّى الْمُسْلِمِينَ *

Diriwayatkan daripada Ummu Atiyyah RA katanya..

Kami telah diperintahkan oleh Nabi SAW supaya keluar pada Hari Raya. Begitu juga kanak-kanak perempuan yang telah baligh, gadis-gadis pingitan dan diperintahkan juga wanita-wanita yang sedang haid supaya keluar pada Hari Raya serta diperintahkan agar mengasingkan mereka dari tempat sembahyang kaum Muslimin *

Riwayat Bukhari dan Muslim.

Daripada ayat-ayat dan hadis di atas, sempena menyambut hari raya ini, marilah kita merenung sebuah hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik.. Mengenai status hadith ini minta sahabat-sahabat yang pakar, sila check semula.

Hadis berkaitan dengan konsep ‘hari raya’ yang lebih luas. Menurutnya, Nabi Muhammad saw. bersabda hari raya yang sebenarnya bagi orang beriman itu ada pada 5 masa:

Pertama: Setiap hari dia berjalan dan bertemu seorang yang beriman serta dia tidak melakukan sebarang dosa, itu adalah hari raya baginya. Kedua: Hari keluarnya dari dunia dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan. Ketiga: Hari menyeberang Siratul Mustaqim dan terselamat dari bencana jatuh ke dalam api neraka. Keempat: Hari kita masuk syurga dengan selamat dan terlepas dari api neraka. Kelima: Hari kita dapat menatap wajah Allah Ta’ala.

Sekiranya kita tidak melakukan sebarang dosa pada sesuatu hari, itu adalah hari raya bagi kita. Kalaulah kita berusaha sungguh-sungguh hindarkan diri dari melakukan sebarang dosa. menjauhi larangan Allah serta patuhi segala perintah Allah, hari itu adalah sebenarnya hari raya bagi kita. Saat menghembuskan nafas terakhir dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan juga termasuk dalam ‘hari raya’ seperti yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Saat sakratul-maut adalah masa paling genting bagi setiap individu. Kesakitan yang amat sangat bukan saja menimpa jasad bahkan roh juga; seperti yang digambarkan oleh ulama sakitnya lebih dahsyat dari dipalu dengan 1000 pedang, atau digunting dengan beberapa gunting atau digergaji dengan beberapa gergaji. Malahan dikatakan saat sakrat adalah hari kiamat bagi si-mati.

Menurut Imam Ghazali kesusahan mati itu 3.. Pertama kesakitan sakrat, Kedua kesusahan melihat kedatangan malaikatul-maut dengan mukanya yang amat bengis dan.. Ketiga kesusahan jika dinampakkan tempat kediaman di neraka.

Apalagi bila dia ahli atau kaki maksiat. Sudahlah tidak tertahan dengan kedahsyatan amat sangat, syaitan pula sibuk menangguk di air keruh. Di saat inilah dia menjalankan taktik dan strategi terakhir untuk menumpaskan lawannya. Hanya orang yang Allah tetapkan mati dalam husnul khatimah saja terlepas dari tipu dayanya. Berjayanya kita di saat ini barulah kita dapat menikmati hari raya sebenarnya.

Namun alam kubur merupakan alam yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dahsyat. Tetapi bagi orang Mukmin, ia merupakan satu taman dari taman-taman syurga. Sebaliknya bagi orang kafir, alam barzakh adalah satu pintu dari pintu neraka. Hari Raya seterusnya adalah hari kita berjaya melepasi api neraka selepas merentas Titian Siratul Mustaqim. Sebelum menyeberang jambatan yang direntang di atas kawah neraka, setiap individu disoal dan ditimbang amalan baik dan jahatnya.

Selesai dari segala perhitungan tersebut barulah diperintah meniti Titian yang sangat tajam dan sangat halus ini. Orang yang mengikut jalan lurus semasa di dunia selamat menyeberang dengan kelajuan cukup pantas. Malangnya mereka yang menyeleweng dari jalan lurus di dunia gagal dan berjatuhan ke dalam api neraka. Bayangkan betapa dahsyat dan ngerinya berada di jambatan di bawahnya terdapat lautan api, sentiasa mengait sesiapa saja yang berdosa. Andainya terlepas dari tersungkur ke neraka, barulah boleh kita berhari raya.

Hari kita masuk syurga adalah hari raya seterusnya bagi orang beriman. Terlepasnya dari neraka bermakna kita akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kelazatan. Syurga adalah tempat manusia pilihan. Penghuni-penguni syurga dengan muka berseri-seri, diberikan kerajaan yang sangat luas dengan mahligai besar serta menikmati pelbagai juadah lazat. Pendeknya mereka beroleh segala kelazatan dan terhindar dari segala seksa. Inilah sebenarnya hari raya bagi orang Mukmin.

Hari raya yang paling meggembirakan orang beriman ialah di saat memandang wajah Agung Ilahi. Inilah kenikmatan paling agung dan lazat sehingga terlupa kelazatan dan kenikmatan syurga. Ia merupakan puncak atau klimaks kenikmatan orang beriman. Memandangkan kita belum pun menempuh saat-saat di atas, sepatutnya kita berasa cemas dan berwaspada. Dalam masa kita bersuka ria menyambut hari raya ini, lintaskanlah di hati sanubari kita bahawa hari raya sebenarnya belum kita tempuhi lagi.

Amat jauh terpesongnya budaya kita menyambut hari raya dengan maksiat seperti hiburan, nyanyian, tarian dan pelbagai kegilaan, yang melupakan dan melalaikan kita dari konsep hari raya sebenarnya. Kita sedih melihat Kementerian Penerangan Malaysia sendiri tidak sensitif atas kehendak umat Islam di negara ini, dan tidak faham konsep Hari Raya sebenar. Hanya membesarkan yang remeh temeh seperti dalam tv, ditambah pula dengan acara hiburan diselimuti maksiat, bercampur baur jantan betina, seolah-olah semua tokoh agama dalam kerajaan itu jahil dan tidak faham agama belaka.

Tidak tahu konsep hari raya menurut agama. Atau menjadi kuda tunggangan puak-puak tertentu sahaja. Menggunakan media untuk politik semata-mata, tidak berfungsi sebagai pendidik dan pembimbing masyarakat ke arah ketertiban dan kemajuan negara berdasarkan tuntunan agama. Kerana semua agama-agama di Malaysia dapat diarahkan ke arah pembangunan samada spiritual atau fizikal. Apalagi agama Islam.

Hari Raya Idilfitri hanya satu gambaran atau tamsilan bagi kita merenung bahawa Allah akan membalas dengan ganjaran baik jika berjaya melepasi rintangan hawa nafsu dan mengendalikan hidup mengikut cara yang Allah redhai. Mudah-mudahan hari raya yang kita hadapi ini tidak berakhir di sini saja, sama-samalah kita berdoa semoga ia berterusan sehinggalah kita berjaya melepasi sakratul-maut, titian siratul-mustaqim, menjadi penghuni syurga dan akhirnya mengadap zat Allah Taala di syurga kelak. Wallahu 'aklam.

Selamat Hari Raya, maaf zahir batin.

0 comments:

Catat Ulasan

:: ULANGTAHUN KELAHIRAN GURU & STAF SOKONGAN


:: CATATAN POPULAR



ORANG SEDANG MELAYARI BLOG INI

Penafian: Sekolah Kebangsaan Jawi adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini.
Dikuasakan oleh Blogger.

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Templates