[close]

Sabtu, 10 April 2010

H1N1 DALAM GELOMBANG KEDUA

KUALA LUMPUR: Tanda awal wujudnya gelombang kedua Influenza A (H1N1) di negara ini sudah bermula, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Katanya, tanda awal itu dapat dilihat dengan jelas apabila bilangan kes yang dilaporkan sepanjang minggu semakin meningkat serta membabitkan kejadian kluster termasuk membabitkan pelajar dan institusi.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya berwaspada dan mempertingkatkan langkah pencegahan. Belum masuk gelombang kedua tapi sudah ada tanda peningkatan H1N1, menunjukkan wujudnya permulaan gelombang kedua H1N1. Ini berdasarkan bilangan kes yang meningkat dan membabitkan kumpulan ramai.

Walaupun belum sampai ke tahap membimbangkan, amaran sudah dikeluarkan dan saya nasihatkan orang ramai mengutamakan penjagaan kebersihan diri, mendapat rawatan segera sekiranya ada simptom batuk, demam dan selesema serta mendapat suntikan antiviral di klinik dengan segera, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas peningkatan kes H1N1 sepanjang minggu ini sehingga kelmarin, yang membabitkan 380 kes yang mempunyai simptom jangkitan penyakit seperti influenza (ILI).

Daripada jumlah itu, sebanyak 210 kes masih dirawat di hospital dan seramai 32 orang disahkan positif H1N1. Sebanyak 10 kejadian kluster dikesan dalam tempoh itu sehingga kelmarin membabitkan 194 pelajar dan institusi dari Kelantan, Perak, Kedah, Selangor dan Melaka.

Kejadian itu membabitkan 48 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Selat Bagan Nyior, Pulau Dayang Bunting, Langkawi, Kedah; 43 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Teknik Langkawi, Kedah; 31 kakitangan Purnama Beach Resort, Pulau Pangkor; 30 pelajar SMK Pulau Tuba, Langkawi; 12 pelajar Institut Belia Negara, Tangok, Bachok, Kelantan; 15 murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Kuala Kubu Bharu, Selangor; enam penghuni asrama SMK Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan; empat penghuni Madrasah Bustanul Ulum Abu Bakar, Jasin, Melaka; tiga murid SK Sri Nobel, Petaling Jaya, Selangor dan dua penghuni rumah teres Kilometer 141/2, Jalan Jasin-Merlimau, Melaka.

Liow berkata, memandangkan kejadian kluster banyak membabitkan pelajar sekolah dan institusi, pelajar dan ibu bapa diminta mengambil langkah pencegahan termasuk mendapat rawatan segera, tinggal di rumah serta tidak ke sekolah sehingga sembuh.

Beliau berkata, masyarakat juga diingatkan bahawa H1N1 masih aktif, walaupun situasinya masih dalam keadaan terkawal, mereka harus mengambil langkah berwaspada untuk mengelakkan diri dari dijangkiti.

Artikel : http://www.bharian.com.my| 03/04/2010

0 comments:

Catat Ulasan

:: ULANGTAHUN KELAHIRAN GURU & STAF SOKONGAN


:: CATATAN POPULAR





ORANG SEDANG MELAYARI BLOG INI

Penafian: Sekolah Kebangsaan Jawi adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari blog ini.
Dikuasakan oleh Blogger.

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Templates